Showing posts with label Ramadan dan Aidilfitri. Show all posts
Showing posts with label Ramadan dan Aidilfitri. Show all posts

Thursday, September 8, 2011

Video Klip Raya...


Kompilasi gambar-gambar yang diambil semasa raya 1432H yang lalu.

Wayang Raya - Conan The Barbarian


Dalam kesibukan masa, aku sempat menonton filem Conan The Barbarian sorang-sorang di Bigcinemas, Kulim Landmark.. ok jugak ceritanya..cuma ada scene yang terlalu ganas.

Hari Raya Aidilfitri 1432H...

Hari Raya kali ini agak berbeza dari tahun-tahun lepas. Tahun ni kami anak beranak beraya tanpa arwah ayah. Walaubagaimanapun, sambutannya lebih kurang sama. Anak-anak sedara begitu seronok bermain bunga api sejak malam raya pertama. Anak sedara bongsu Nayli Irdina seronok 'make-up' kan aku.

Semua orang busy dalam dunia masing-masing. Emak sibuk menyiapkan ketupat dan adik bongsuku yang sedang sarat mengandung sibuk mengemas rumah.

Adik iparku Rosman pula sibuk mengemas ruang tamu. Dia memang rajin dari dulu. Aku hanya melayan internet sepanjang masa hehe.

Raya kali ni, adikku Nazran beraya di rumah mertuanya. Kesian dia, asyik menghantar sms. Katanya rindukan ketupat palas.

Raya kali ni diserikan dengan meja makan baru dan bunga-bunga baru sumbangan adik bongsu dan aku. Pada malam raya, anak-anak sedaraku yang perempuan sibuk memakai inai. Riuh rendah seronoknya nak beraya.

Pada hari raya pertama, kami menunaikan solat raya di surau depan rumah. Sejak awal lagi ramai jemaah berkumpul. Kami solat di luar surau seperti biasa. Aku memakai baju melayu hijau. Emak pun memakai baju cantik pagi ini.

selepas menunaikan solat raya, kami ke pusara ayah membaca yasin beramai-ramai. Keluarga Pakteh Not, Pakcik Pidi, Maktam, pakcik taufik dan pak jang pun turut membacakan yasin dan berdoa kerana kubur arwah wan, maktok, makteh, ayah, pakcik munshi dan adikku yang meninggal semasa kecil letak berdekatan. Suasana pilu menyelubungi kami pagi itu.

Ramai saudara dan sahabat-sahabat yang datang. Antaranya sahabat yang terpisah 33 tahun yang lalu. Rakan-rakan AIMM turut datang seperti Hazli, Hizam, Norish dan Harun. Mereka datang selepas menziarahi PPI Hamdan yang diserang sakit jantung pada awal pagi 1 Syawal.

Raya kali ini memang meriah dalam pilu. Moga arwah ayah bahagia di dunianya. Moga Allah rahmati rohnya. Bagi kami yang masih hidup akan meneruskan kehidupan.

Saturday, September 3, 2011

Pelik dan Anih

Raya kali ni banyak cerita anih dan pelik.. Antara cerita yang menarik yang berlaku adalah berkaitan seorang insan yang ditakdirkan Allah tidak memiliki anak setelah bernikah selama 5 tahun. Tahun ini beliau datang ke rumah dengan seorang baby girl yang sungguh comel. Dia bercerita tentang kehidupan barunya sebagai seorang ibu, berkongsi cerita tentang susah payah beliau mengandungkan babynya selama 9 bulan.

" Anak aku ni bagus.. masa mengandungkan dia aku langsung tak alah."
" Scan dua kali tapi sampai lahir baru tau jantina"
" Doktor kata tak payah pantang-pantang macam orang dulu."'

Hehe.. kenapa lah dia sanggup berbohong dengan semua orang hatta sedara mara sendiri. Dia bercerita dengan rancak tanpa mengetahui bahawa kami semua sudah lama tahu bahawa anak itu hanya anak angkat yang dilahirkan oleh seorang insan lain.

Padanya aku ingin berpesan... tak perlu berbohong hanya untuk menutup sesuatu yang telah ditentukan Allah.. dosa kering beb!

Friday, September 2, 2011

Pertemuan setelah 33 tahun

Pija, Jun dan anak2..
Aku bertukar dari Jeniang ke Kulim pada tahun 1978 iaitu hampir 33 tahun yang lalu. Aku berpindah mengikut arwah ayah yang ditugaskan di kawasan Kulim. Di Jeniang, aku punya ramai kawan.. dan antaranya adalah Pija dan Jun.

Kini setelah begitu lama terpisah, kami ditemukan semula melalui FB. Hari ini 3 Syawal, apa yang tak disangka menjadi kenyataan. Pija, Jun dan Makcik Rodziah telah datang ke rumah kami dengan keluarga mereka. Aku memang teruja... Walaupun masing-masing telah ditelan usia namun wajah2 mereka tetap sama..

Moga dengan ini kami tidak lagi terpisah. Syukur Alhamdulillah

Thursday, September 1, 2011

Pusara Ayah di Pagi 1 Syawal


Tahun ni aku beraya tanpa arwah ayah yang sering dirindui.. Kerinduan pada arwah ayah tak mampu kuungkapkan.. Segala senyum tawa, gurau senda akan menjadi kenangan ke akhir hayat. Moga arwah ayah bahagia di alam barzakh..moga arwah ayah dirahmati Allah swt.

Raya Pertama & PPI Hamdan


Lama tak update blog ini kerana sibuk menyambut hari raya aidilfitri di kampung. Lebih menyedihkan bila sahabat baik, boss di tempat kerja diserang serangan jantung pada hari raya pertama. Beliau kini ditempatkan di Unit Rawatan Rapi Kardio, Hospital Seberang Jaya Pulau Pinang. Saya mendoakan moga beliau segera pulih dan sembuh sepenuhnya. Harap PPI Hamdan bin Ahmad@Amat kuatkan semangat. Aminn

Wednesday, August 24, 2011

Selamat Hari Raya. Maaf Zahir Batin

Sejak berada di AIMM pada tahun 2008, telah empat kali berkesempatan mengambil cuti raya. Malah saya kira diri saya antara yang bertuah kerana sejak bekerja di dalam jabatan ini, belum pernah gagal saya mengambil cuti raya.

Sepanjang tiga tahun berada di AIMM, banyak peristiwa pahit manis yang saya hadapi. Di sini saya kehilangan seorang isteri dan semasa di sini jugalah saya kehilangan insan yang paling saya sayang iaitu arwah ayah. Di sini jugalah kerja saya dihargai dengan anugerah perkhidmatan cemerlang walaupun ketika itu saya baru saja setahun lebih di sini.

Begitulah adat kehidupan, ada pahit dan ada yang manis. Kita terima segalanya dengan redha kerana sedikit sebanyak, ia mematangkan kita. Saya tak pasti sama ada saya akan bertemu kembali dengan Ramadan pada tahun depan. Kerana itulah, saya ingin memohon ampun dan maaf dari hujung rambut sampai hujung kaki, halalkan juga makan minum serta kekhilafan selama ini.

Selamat Hari Raya. Maaf Zahir Batin.

Ikhlas dari

Mohd Amirul Nazrin

Raya semakin dekat... Bahangnya mula terasa


Hari ni kami berempat sahaja di pejabat. Rakan-rakan lain telah lama pulang ke kampung. Aduh.. nak kerja pun jadi malas.. tak tahu apa yang nak dibuat. Cepatlah wahai Jumaat... panas badanku dek kerana bahangnya Aidilfitri

Tuesday, August 23, 2011

Perbelanjaan Aidilfitri 1432H

Tahun ni tahun ke 2 aku beraya tanpa isteri. Perbelanjaan ala kadar.. cukuplah selayaknya bagi seorang bujang. Tempohari ke Sabah, sempat belikan emak, adik-adik dan anak-anak saudara barang perhiasan dari mutiara seperti gelang, brooch, butang baju melayu dan kain pelikat serta keropok balinjo, ikan bilis dan udang kering.

Tahun ni pertama kali beraya tanpa ayah. Tahun lepas, teringat saat-saat akhir belikan sandal raya untuk ayah kerana kasut yang dibelikan adik terlalu besar. Sempat arwah menggunakan sandal aku semasa raya sehingga akhir hayat di Hospital Pulau Pinang.

Tahun ni aku sempat beli beberapa kuih untuk raya. Semuanya aku order dari Zaireen, Rishidah dan Dayang. Mungkin sebelum balik aku belikan sedikit lagi kerana kali ini emak di kampung tidak membuat kuih seperti kebiasaan. Emak aku memang sibuk sepanjang puasa dengan aktiviti-aktiviti keagamaan bersama kawan-kawannya di kampung. Perbelanjaan kuih setakat ini : RM11 + RM30 + RM46 + RM15 = RM 101.00. Duit raya pun dah siap. Anak-anak saudara ada sepuluh. Pada yang kecil seorang RM10. Pada yang dah sekolah rendah RM20.00.. Pada yang sekolah menengah RM30 dan yang telah keluar sekolah RM50.00. Hehe.. sesekali biarlah diorang seronok. Duit untuk emak seperti yang disuruhnya pun sudah ditukarkan. RM200 dalam pecahan RM10.00 dan RM1.00. Terima kasih CC Shima. Alhamdulillah, zakat fitrah pun dah dibayar untuk aku dan emak.

Ahad ni aku akan bawa emak ke Giant Kulim. Banyak barang-barang runcit dan barang-barang basah yang perlu dibeli. Selepas itu, perlu bersihkan bilik air untuk emak...rutin setiap kali raya. Kata emak tahun ni menu bihun sup. Teringat sewaktu arwah ayah masih hidup, masakan utama untuk raya arwah ayah yang sediakan. Seingat-ingat aku sejak kecil, masakan utama memang ayah yang akan masak. Tahun ni terpaksalah emak mengambil alih.

Apapun, yang pentingnya petang ini singgah di Kedai Mee Du dan ambil baju melayu yang kutempah. Hari tu baju tersalah ukur sehingga tidak muat. Diharapkan baju yang dibuat semula ini muat untuk beraya. Insya Allah.. selamat hari raya. maaf zahir batin.

Monday, August 22, 2011

Kesilapan-kesilapan yang sering berlaku di bulan Ramadan...


1) Makan dan minum dengan bebas setelah batal puasa dengan sengaja (bukan kerana uzur yang diterima Islam). Perlu diketahui bahawa sesiapa yang batal puasanya dengan sengaja tanpa uzur seperti mengeluarkan mani secara sengaja, merokok, makan dan minum. Ia dilarang untuk makan dan minum lagi atau melakukan apa jua perkara yang membatalkan puasa yang lain sepanjang hari itu. (Fiqh as-Siyam, Al-Qaradawi, hlm 112).
Ia dikira denda yang pertama baginya selain kewajiban menggantikannya kemudiannya. Keadaan ini disebut di dalam sebuah hadith, Ertinya : "sesungguhnya sesiapa yang telah makan (batal puasa) hendaklah ia berpuasa baki waktu harinya itu" (Riwayat al-Bukhari)
2) Makan sahur di waktu tengah malam kerana malas bangun di akhir malam. Jelasnya, individu yang melakukan amalan ini terhalang dari mendapat keberkatan dan kelebihan yang ditawarkan oleh Nabi SAW malah bercanggah dengan sunnah baginda. "Sahur" itu sendiri dari sudut bahasanya adalah waktu terakhir di hujung malam. Para Ulama pula menyebut waktunya adalah 1/6 terakhir malam. (Awnul Ma'bud, 6/469). Imam Ibn Hajar menegaskan melewatkan sahur adalah lebih mampu mencapai objektif yang diletakkan oleh Nabi SAW. (Fath al-Bari, 4/138)
3) Bersahur dengan hanya makan & minum sahaja tanpa ibadah lain. Ini satu lagi kesilapan umat Islam kini, waktu tersebut pada hakikatnya adalah antara waktu terbaik untuk beristigfar dan menunaikan solat malam.
Firman Allah ketika memuji orang mukmin ertinya : " dan ketika waktu-waktu bersahur itu mereka meminta ampun dan beristighfar" (Az-Zariyyat : 18)
يا رسول الله , أي الدعاء أسمع ؟ : قال : جوف الليل الأخير ودبر الصلوات المكتوبة
Ertinya : "Ditanya kepada Nabi (oleh seorang sahabat) : Wahai Rasulullah :" Waktu bilakah doa paling didengari (oleh Allah s.w.t) ; jawab Nabi : Pada hujung malam (waktu sahur) dan selepas solat fardhu" ( Riwayat At-Tirmidzi, no 3494 , Tirmidzi & Al-Qaradhawi : Hadis Hasan ; Lihat Al-Muntaqa , 1/477)
4) Tidak menunaikan solat ketika berpuasa. Ia adalah satu kesilapan yang maha besar. Memang benar, solat bukanlah syarat sah puasa. Tetapi ia adalah rukun Islam yang menjadi tonggak kepada keislaman sesorang. Justeru, ‘ponteng' solat dengan sengaja akan menyebabkan pahala puasa seseorang itu menjadi ‘kurus kering' pastinya.
5) Tidak mengutamakan solat Subuh berjemaah sebagaimana Terawih. Ini jelas suatu kelompongan yang ada dalam masyarakat tatakala berpuasa. Ramai yang lupa dan tidak mengetahui kelebihan besar semua solat fardhu berbanding solat sunat, teruatamnya solat subuh berjemaah yang disebutkan oleh Nabi SAW bagi orang yang mendirikannya secara berjemaah, maka beroleh pahala menghidupkan seluruh malam.
6) Menunaikan solat terawih di masjid dengan niat inginkan meriah. Malanglah mereka kerana setiap amalan di kira dengan niat, jika niat utama seseorang itu ( samada lelaki atau wanita) hadir ke masjid adalah untuk meriah dan bukannya atas dasar keimanan dan mengharap ganjaran redha Allah sebagaimana yang ditetapkan oleh Nabi SAW di dalam hadith riwayat al-Bukhari. Maka, "Sesungguhnya sesuatu amalan itu dikira dengan niat". (Riwayat al-Bukhari)
7) Bermalasan dan tidak produktif dalam kerja-kerja di siang hari dengan alasan berpuasa. Sedangkan, kerja yang kita lakukan di pejabat dengan niat ibadat pastinya menambahkan lagi pahala. Justeru, umat Islam sewajarnya memperaktifkan produktiviti mereka dan bukan mengurangkannya di Ramadhan ini.


 8) Memperbanyakkan tidur di siang hari dengan alasan ia adalah ibadat. Sedangkan Imam As-Sayuti menegaskan bahawa hadith yang menyebut berkenaan tidur orang berpuasa itu ibadat adalah amat lemah. (al-Jami' as-Soghir ; Faidhul Qadir, Al-Munawi, 6/291)

9) Menganggap waktu imsak sebagai ‘lampu merah' bagi sahur. Ini adalah kerana waktu imsak sebenarnya tidak lain hanyalah ‘lampu amaran oren' yang di cadangkan oleh beberapa ulama demi mengingatkan bahawa waktu sahur sudah hampir tamat. Ia bukanlah waktu tamat untuk makan sahur, tetapi waktu amaran sahaja. Lalu, janganlah ada yang memberi alasan lewat bangun dan sudah masuk imsak lalu tidak dapat berpuasa pada hari itu. Waktu yang disepakti ulama merupakan waktu penamat sahur adalah sejurus masuk fajar sadiq (subuh). (As-Siyam, Dr Md ‘Uqlah, hlm 278)
10) Wanita berterawih beramai-ramai di masjid tanpa menjaga aurat. Ini nyata apabila ramai antara wanita walaupun siap bertelekung ke masjid, malangnya kaki dan aurat mereka kerap terdedah da didedahkan berjalan dan naik tangga masjid di hadapan jemaah lelaki. Tatkala itu, fadhilat mereka solat di rumah adalah lebih tinggi dari mendatangkan fitnah buat lelaki ketika di masjid.
11) Memasuki Ramadhan dalam keadaan harta masih dipenuhi dengan harta haram, samada terlibat dengan pinjaman rumah, kad kredit, insuran, pelaburan dan kereta secara riba. Ini sudah tentu akan memberi kesan yang amat nyata kepada kualiti ibadah di bulan Ramadhan, kerana status orang terlibat dengan riba adalah sama dengan berperang dengan Allah dan RasulNya, tanpa azam dan usaha untuk mengubahnya dengan segera di bulan 'tanpa Syaitan' ini, bakal menyaksikan potensi besar untuk gagal terus untuk kembali ke pangkal jalan di bulan lain.
Nabi Muhammad menceritakan :-
ذَكَرَ الرَّجُلَ يُطِيلُ السَّفَرَ أَشْعَثَ أَغْبَرَ يَمُدُّ يَدَيْهِ إلى السَّمَاءِ يا رَبِّ يا رَبِّ وَمَطْعَمُهُ حَرَامٌ وَمَشْرَبُهُ حَرَامٌ وَمَلْبَسُهُ حَرَامٌ وَغُذِيَ بِالْحَرَامِ فَأَنَّى يُسْتَجَابُ لِذَلِكَ
Ertinya :  menyebut tentang seorang pemuda yang bermusafir dalam perjalanan yang jauh, hal rambutnya kusut masai, mukanya berdebu di mana dia mengangkat tangan ke langit : Wahai Tuhanku...wahai Tuhanku... sedangkan makanannya haram, minumannya haram dan pakaiannya haram..Dan dia dibesarkan dengan memakan makanan haram maka bagaimana Kami mahu mengabulkan doanya. ( Riwayat Muslim, no 1015, 2/703 ; hadis sohih)
Justeru, bagaimana Allah mahu memakbulkan doa orang yang berpuasa sedangkan keretanya haram, rumahnya haram, kad kreditnya haram, insurannya haram, simpanan banknya haram, pendapatannya haram?. Benar, kita perlu bersangka baik dengan Allah, tetapi sangka baik tanpa meloloskan diri dari riba yang haram adalah penipuan kata Imam Hasan Al-Basri.
12) Tidak memperbanyakkan doa tatkala berpuasa dan berbuka. Ini satu lagi jenis kerugian yang kerap dilakukan oleh umat Islam. Nabi SAW telah menyebut :-

ثلاثة لا ترد دعوتهم , الإمام العادل , والصائم حتى يفطر ودعوة المظلوم
Ertinya : "Tiga golongan yang tidak di tolak doa mereka, pemimpin yang adil, individu berpuasa sehingga berbuka dan doa orang yang di zalimi" ( Riwayat At-Tirmizi, 3595, Hasan menurut Tirmizi. Ahmad Syakir : Sohih )

Selain itu, doa menjadi bertambah maqbul tatkala ingin berbuka berdasarkan hadith.

إن للصائم عند فطره دعوة لا ترد
Ertinya : "Sesungguhnya bagi orang berpuasa itu ketika berbuka (atau hampir berbuka) doa yang tidak akan ditolak" ( Riwayat Ibn Majah, no 1753, Al-Busairi : Sanadnya sohih)

Sunday, August 21, 2011

Bazaar Ramadan Batu 4 PD

Bazaar Ramadan Batu 4 PD
Hari ni masih ramai yang belum balik kampung untuk beraya adanya. Peniaga-peniaga masih ligat mencari rezeki. Rata-rata, harga makanan kian mahal. Ayam percik yang dulunya RM5.00 untuk tiga ketul, kini dah berharga RM6.00.

Kebanyakan jenis makanan yang dijual adalah sama. Kita perlu bijak memilih makanan yang nampak sedap, menyelerakan dan bersih. Moga diberi umur yang panjang agar bertemu lagi suasana bazaar yang sebegini. Amin

Ramadan.. dulu dan sekarang

Suasana bulan puasa dulu dan sekarang sudah banyak berbeza. Tiada lagi kedengaran bunyi meriam buluh setiap malam sejak malam pertama. Budak-budak zaman sekarang mungkin dah tak kenal dengan meriam buluh dan cara membuatnya.

Jika dulu mak-mak kita selalu bertukar kuih dan lauk pauk. Sekarang suasana tersebut telah ditelan zaman. Ibubapa sekarang terlalu sibuk dengan urusan harian. Nak makan sesuatu, hanya tunjuk dengan jari dan bayar. Begitulah arus perubahan yang berlaku dalam diam. Suasana dulu lebih indah jika difikirkan semula. Sebelum berbuka kita akan membawa sajian dengan pinggan-pinggan bertutup dan berjalan dari satu rumah ke rumah yang lain. Sewaktu berbuka, lauk yang asalnya hanya dua jenis akan bertambah menjadi lima hingga enam. Jimat belanja dan murah rezeki. Sajiannya pun lebih enak berbanding sekarang. Yelah.. sajian sendiri dan sajian beli pastu berbeza.

Arwah ayah dulu seorang guru. Setiap kali raya, anak-anak muridnya akan konvoi ke rumah dengan basikal tua. Setiap yang pulang akan diberi duit raya (tidak dalam sampul seperti sekarang). Masa tu 20sen pun sudah dianggap mewah. Kalau sekarang RM1.00 pun budak-budak tengok sebelah mata.


Dulu Tilawah Al Quran diadakan dalam bulan puasa. Waktu itu orang-orang kampung dan jiran-jiran akan bertandang ke rumah kerana ingin menonton. Waktu itu rasanya rumah yang memiliki tv boleh dibilang dengan jari. Itupun tv hitam putih (yang ada pintu boleh ditolak tepi dan tengah untuk tutup).. Tv tu pulak siap dengan kaki. Sekarang tv lcd bersepah. Ada yang sampai mencecah 50 inci lebarnya.

Budak-budak dulu tak suka terperap di rumah. Cerita tv kalau ada pun hanya sarkas dan silap mata. Mereka akan berjalan dari rumah ke rumah dengan basikal atau berjalan kaki. Sekurang-kurangnya budaya ini masih ada walaupun semakin berkurangan. Budak-budak sekarang lebih banyak di depan tv (seperti anak-anak saudaraku). Drama-drama dan filem-filem melayu yang selesai ditayangkan di panggung menjadi sajian bersama kuih-kuih raya.

Bercerita tentang kuih raya, kuih raya dulu lebih enak. Bahulu dulu dan bahulu sekarang pun dah jauh berbeza. Kuih bakar, kuih sepit, kuih siput, putu kacang dan lain-lain lebih sedap berbanding kuih-kuih moden yang beranika warna dan corak tapi rasanya seakan sahaja.

Dulu, kad raya adalah pengganti diri. Kad-kad raya yang diterima akan digantung pada pokok sebagai hiasan. Kini kad raya telah hilang serinya dan diganti sms (pesanan ringkas) yang katanya lebih murah dan efisien.

Banyak tradisi lama dilupakan dan tradisi baru muncul mengganti. Namun keindahan tradisi dulu seharusnya kita simpan sebagai kenangan. Jika tidak ada tradisi lama...manakan boleh tradisi baru disebut 'baru'.. Selamat hari raya buat semua

Friday, August 19, 2011

Arghhh...baju melayu aku!

Kawan-kawan kata tailor ni memang hebat. Upah murah dan jahitannya kemas. Mulanya niat aku nak minta ehsan tuan punya kedai untuk dapatkan resit agar aku dapat claim uniform bagi tahun 2011 ini. RM690.00 sekali tuntut, sapa yang tak nak. 


Petang itu jugak sebelum berbuka aku ke kedai tersebut. Nasib baik taukenya baik. Dia berikan resit sepertimana yang aku perlukan. Bila ditanya tentang baju melayu, dia cakap "NO PROBLEM".. aku tanya buat kali ke 2 dan dia jawab dengan yakin "NO PROBLEM". Aku ambik keputusan untuk mengupah baju raya di situ. Upahnya RM110.00, boleh dikira murah.


Semalam,setelah dua minggu berlalu aku ke kedai ini untuk mengambil baju raya yang sudah tidak sabar nak cuba. Aku senyum melihat baju melayu hijau siap 'on time'. Sampai saja di rumah, aku terus 'menerai'.. Arghhhhhh... tak muat huhuhuhu. Frust betul aku..jangan kata sendat, naak masuk pun tak boleh hehehe.


Hari ini aku sedikit senang hati.. baju yang sendat tu akan diganti baru. Upah tak perlu di bayar.. kainnya akan digantikan. Bila ditanya bila siap... tauke menjawab " Dua hari boss..". Aku tersenyum lega.. hehehe.. rupanya rezeki masih ada.

Berpuasa hari ke 19 Ramadan 1432H

Hari ni aku menunaikan solat jumaat di Masjid Bagan Pinang. Seperti biasa Masjid yang begitu sinonim dengan YB Dato' Seri Isa Samad ini dipenuhi jemaah dari kampung-kampung berdekatan. Aku mengambil tempat jauh di belakang... begitulah kebiasaannya aku. 


Khutbah hari ini menyentuh tajuk "Malam Lailatul Qadar" (Malam Seribu Bulan). Banyak keistimewaan yang terdapat pada malam ini. firman Allah s.w.t.


Maksudnya: "Sesungguhnya kami menurunkan Al-Quran pada malam Lailatulqadar dan apakah yang menyebabkan engkau mengerti apa itu Lailatulqadar. Lailatulqadar lebih baik daripada 1000 bulan. Pada malam itu, para malaikat dan Jibril turun dengan keizinan daripada Tuhan mereka untuk setiap urusan. Malam ini sejahtera hingga terbit fajar".

Sayangnya, malam ini hanya berlaku pada penghujung Ramadan ketika umat Islam kembali sibuk dengan keduniaan. Pusat membeli belah lebih menjadi tumpuan. Pelbagai persiapan 'wajib' perlu disegerakan. Masjid-masjid dan surau-surau kian lengang pada malam-malam terakhir terawih. Keseronokan menyambut Aidilfitri kian terasa. Bahangnya ada dimana-mana hatta di dalam kereta dan di pejabat-pejabat. Lampu kelip-kelip, pelita minyak tanah dan perhiasan mula dipasang. Lagu-lagu raya lama dan baru nyaring di sana-sini. Begitulah adatnya menyambut raya di bumi Malaysia.

Tahun ini aku keseorangan lagi. Suasana raya tetap seperti biasa. Malam Lailatul Qadar akan kembali lagi tahun ini, namun aku tidak pasti sama ada aku antara insan yang akan menerima imbuhannya nanti. Wallahu'alam. Sebagai umat Nabi Muhammad SAW, Malam Lailatul Qadar adalah satu kelebihan. Semoga antara kita ada yang berjaya diangkat martabatnya oleh Allah SWT.