Showing posts with label peribadi. Show all posts
Showing posts with label peribadi. Show all posts

Thursday, September 8, 2011

Setelah puas memujuk...

Hendak memujuk emak ikut pulang ke Port Dickson bukan perkara mudah. Pelbagai alasan akan diberikan. Antaranya malas nak menyusahkan anak-anak, rindu dengan kawan-kawan dan seribu satu lagi alasan.

Alhamdulillah, menyedari adik bongsu akan melahirkan anak bulan Oktober ini akhirnya emak bersetuju. Dalam perjalanan kami sempat menginap di Hotel Indah berhadapan jeti ke Pulau Pangkor. Harganya RM50.00 tetapi lengkap dengan tv, bilik air, peti ais, almari, aircond dan kipas.

Kami sempat melawat kawasan taman berhampiran sebelum meneruskan perjalanan ke rumah Nazran di Taman Bukit Subang. Aku suka tengok emak gembira. Moga emak akan gembira dengan anak-anaknya....

Pesatnya Pembangunan di Kulim...

Orang-orang Kulim dulu kalau nak shopping terpaksa ke Bukit Mertajam atau Penang. Di Kulim yang ada hanya kedai-kedai kecil dan kurang pilihan.

Kini Kulim telah pesat membangun. Pejabat Imigresen dah ada. Panggung wayang dah ada. Shopping complex seperti Giant dan Tesco dah ada. Sedikit hari lagi, betul-betul di depan Kulim Landmark akan ada shopping complex Mydin pula.

Dulu restoran makanan segera yang ada hanya KFC dan Pizza Hut. Kini Secret Recipe, Sushi King, A&W dan pelbagai lagi siap menunggu pelanggan termasuk Nasi Ayam Penyet dari Borneo. Mewahnya  orang-orang Kulim sekarang. Orang kata dalam setiap pembangunan pasti ada pengorbanan yang perlu kita hulurkan. Kehidupan sosial anak-anak muda Kulim kini menjadi taruhan. Alangkah malangnya, pembangunan yang merosakkan anak-anak muda dibiar berterusan tanpa panduan, pedoman mahupun pemantauan. Sedihh...

Hari Raya Aidilfitri 1432H...

Hari Raya kali ini agak berbeza dari tahun-tahun lepas. Tahun ni kami anak beranak beraya tanpa arwah ayah. Walaubagaimanapun, sambutannya lebih kurang sama. Anak-anak sedara begitu seronok bermain bunga api sejak malam raya pertama. Anak sedara bongsu Nayli Irdina seronok 'make-up' kan aku.

Semua orang busy dalam dunia masing-masing. Emak sibuk menyiapkan ketupat dan adik bongsuku yang sedang sarat mengandung sibuk mengemas rumah.

Adik iparku Rosman pula sibuk mengemas ruang tamu. Dia memang rajin dari dulu. Aku hanya melayan internet sepanjang masa hehe.

Raya kali ni, adikku Nazran beraya di rumah mertuanya. Kesian dia, asyik menghantar sms. Katanya rindukan ketupat palas.

Raya kali ni diserikan dengan meja makan baru dan bunga-bunga baru sumbangan adik bongsu dan aku. Pada malam raya, anak-anak sedaraku yang perempuan sibuk memakai inai. Riuh rendah seronoknya nak beraya.

Pada hari raya pertama, kami menunaikan solat raya di surau depan rumah. Sejak awal lagi ramai jemaah berkumpul. Kami solat di luar surau seperti biasa. Aku memakai baju melayu hijau. Emak pun memakai baju cantik pagi ini.

selepas menunaikan solat raya, kami ke pusara ayah membaca yasin beramai-ramai. Keluarga Pakteh Not, Pakcik Pidi, Maktam, pakcik taufik dan pak jang pun turut membacakan yasin dan berdoa kerana kubur arwah wan, maktok, makteh, ayah, pakcik munshi dan adikku yang meninggal semasa kecil letak berdekatan. Suasana pilu menyelubungi kami pagi itu.

Ramai saudara dan sahabat-sahabat yang datang. Antaranya sahabat yang terpisah 33 tahun yang lalu. Rakan-rakan AIMM turut datang seperti Hazli, Hizam, Norish dan Harun. Mereka datang selepas menziarahi PPI Hamdan yang diserang sakit jantung pada awal pagi 1 Syawal.

Raya kali ini memang meriah dalam pilu. Moga arwah ayah bahagia di dunianya. Moga Allah rahmati rohnya. Bagi kami yang masih hidup akan meneruskan kehidupan.

Saturday, September 3, 2011

Ikan laga...

Petang tadi aku ke Jaya Jusco Perda.. saja jalan-jalan sambil exercise kaki dan cuci mata. Aku terpandang di satu sudut, orang menjual ikan laga. Waduh... hatiku tiba-tiba rindu dengan kenangan zaman kanak-kanak dulu.

Aku, adik-adik, bapa sedara dan sepupu sepapat kan turun ke anak sungai di sebelah rumah nenek (tok tesah) dan menyauk mencari ikan laga. Keseronokkan yang tak mampu digambarkan.

Bila difikirkan kembali, dulu semasa kanak-kanak kita tak pernah kenal sempadan. Tiada istilah takut untuk meneroka.. kini kalau disuruh sudah tentu pelbagai alasan diberikan. Zaman berubah. Begitulah juga dengan keadaan anak sungai ini yang kini tiada lagi ditimbuni tanah dan jalanraya.


Pelik dan Anih

Raya kali ni banyak cerita anih dan pelik.. Antara cerita yang menarik yang berlaku adalah berkaitan seorang insan yang ditakdirkan Allah tidak memiliki anak setelah bernikah selama 5 tahun. Tahun ini beliau datang ke rumah dengan seorang baby girl yang sungguh comel. Dia bercerita tentang kehidupan barunya sebagai seorang ibu, berkongsi cerita tentang susah payah beliau mengandungkan babynya selama 9 bulan.

" Anak aku ni bagus.. masa mengandungkan dia aku langsung tak alah."
" Scan dua kali tapi sampai lahir baru tau jantina"
" Doktor kata tak payah pantang-pantang macam orang dulu."'

Hehe.. kenapa lah dia sanggup berbohong dengan semua orang hatta sedara mara sendiri. Dia bercerita dengan rancak tanpa mengetahui bahawa kami semua sudah lama tahu bahawa anak itu hanya anak angkat yang dilahirkan oleh seorang insan lain.

Padanya aku ingin berpesan... tak perlu berbohong hanya untuk menutup sesuatu yang telah ditentukan Allah.. dosa kering beb!

Friday, September 2, 2011

Hatiku tersentuh...


Entah kenapa, hati aku sering tersentuh apabila menatap wajah pakcikku ini. Mungkin kerana kami lebih kurang senasib.. Setiap kali terpandang wajah pakcikku ini aku terasa sepi dan sunyi...

Pakcik adalah adik bongsu arwah ayah. Orangnya pendiam dan baik hati. Pakcik tak kahwin-kahwin hingga kini.

Mak aku cakap pakcik aku banyak duit sebab duduk sorang-sorang. Tapi duit tak boleh ubati kesunyian kan!

Pertemuan setelah 33 tahun

Pija, Jun dan anak2..
Aku bertukar dari Jeniang ke Kulim pada tahun 1978 iaitu hampir 33 tahun yang lalu. Aku berpindah mengikut arwah ayah yang ditugaskan di kawasan Kulim. Di Jeniang, aku punya ramai kawan.. dan antaranya adalah Pija dan Jun.

Kini setelah begitu lama terpisah, kami ditemukan semula melalui FB. Hari ini 3 Syawal, apa yang tak disangka menjadi kenyataan. Pija, Jun dan Makcik Rodziah telah datang ke rumah kami dengan keluarga mereka. Aku memang teruja... Walaupun masing-masing telah ditelan usia namun wajah2 mereka tetap sama..

Moga dengan ini kami tidak lagi terpisah. Syukur Alhamdulillah

Monday, August 29, 2011

Aku vs Birthday

Bersyukur ke hadrat Allah yang memberi peluang untuk aku hidup setahun lagi.. Moga Allah akan terus memberikan hidayah dan petunjuk agar aku dapat memanfaatkan usia yang diberikanNya ini. Sesungguhnya aku ini insan yang sering alpa..

Happy birthday Amirul... selamat hari lahir buat aku...

Saturday, August 27, 2011

Perjalanan Semalam

Assalamualaikum...
Semalam aku beriya-iya sungguh hendak mengelakkan jem. Bertolak jam 2.00 pagi...sempat menjamah sahur 'nasi goreng' di kedai berhampiran rumah. Aku bersalaman dengan tuan punya kedai sebelum beredar yang rupanya lebih ramah di awal pagi dari kebiasaannya di waktu petang. Hendak mengikut jalan kampung, hati tak berapa selesa, terasa seram sejuk memikirkan jalannya lengang dan tidak berlampu. Keliling hanya pokok kelapa sawit berbalam-balam jauh ke dalam.

Aku akhirnya membuat keputusan untuk mengikut jalan highway. Keluar dari Tol PD aku terus ke Nilai dan keluar ikut KLIA ke Shah Alam. Aku mengambil highway guthrie kerana kurang sedikit kenderaan. Setibanya di Rawang aku mula cuak melihat lampu kenderaan di hadapan. Jam 3.30 pagi kenderaan sudah penuh di jalan. RnR juga dipenuhi lautan manusia. Nasib baik aku telah siap bersahur dan sempat menapau air. Aku hanya berhenti di RnR Tapah untuk mengisi tangki minyak,Itupun beratur panjang. Aku berehat sekejap sebelum menunaikan solat subuh yang diimamkan seorang pakcik.

Setibanya di rumah, jam tepat pukul 8.00 pagi. Mandi dan bilas diri sebelum menemani emak ke kedai membeli barang-barang runcit. Selesai shopping, aku tidur. Petangnya aku ke Giant dan shopping sekali lagi. Habis RM300 untuk stok emak selama sebulan.

Malam ini, aku ke kulim. Ingat keadaan sunyi..rupanya lebih parah..jem di sana sini. sempat singgah di kedai membeli bunga dan bungkuskan bunga-bunga untuk ruang tamu di rumah. Begitulah cerita hari ini. :)

Thursday, August 25, 2011


Menunggu raya agar kita dapat bertemu. Engkaulah permata hati...

Ubat vs Racun


Rindu itu adalah perkara biasa dalam hidup seorang manusia. Merindui mereka yang semakin jauh.. kadang-kadang terasa menyempitkan ruang dada.. Aku hanya mampu bertahan.. Moga rindu ini menjadi ubat dan bukan racun yang memudaratkan. Amin

Cinta Bukan Semestinya Bersatu

Rindu kutahan semampu boleh..malu aku pada bulan dan matahari yang kerinduan, tak pernah sempat bersua muka namun tak pernah juga merungut...




Amirul Nazrin

Wednesday, August 24, 2011

Selamat Hari Raya. Maaf Zahir Batin

Sejak berada di AIMM pada tahun 2008, telah empat kali berkesempatan mengambil cuti raya. Malah saya kira diri saya antara yang bertuah kerana sejak bekerja di dalam jabatan ini, belum pernah gagal saya mengambil cuti raya.

Sepanjang tiga tahun berada di AIMM, banyak peristiwa pahit manis yang saya hadapi. Di sini saya kehilangan seorang isteri dan semasa di sini jugalah saya kehilangan insan yang paling saya sayang iaitu arwah ayah. Di sini jugalah kerja saya dihargai dengan anugerah perkhidmatan cemerlang walaupun ketika itu saya baru saja setahun lebih di sini.

Begitulah adat kehidupan, ada pahit dan ada yang manis. Kita terima segalanya dengan redha kerana sedikit sebanyak, ia mematangkan kita. Saya tak pasti sama ada saya akan bertemu kembali dengan Ramadan pada tahun depan. Kerana itulah, saya ingin memohon ampun dan maaf dari hujung rambut sampai hujung kaki, halalkan juga makan minum serta kekhilafan selama ini.

Selamat Hari Raya. Maaf Zahir Batin.

Ikhlas dari

Mohd Amirul Nazrin

Kenangan kembali mencuit jiwa


Perkenalan yang berlaku pada tahun 1998 tetap terpahat dalam jiwa walau pertemuannya singkat. Gadis yang kutemui di Kangar Travelodge, menusuk hatiku waktu itu. Selepas itu kami bertemu di Langkawi. Walau kini 13 tahun berlalu, pertemuan di Langkawi tetap segar dalam ingatan. FB memungkinkan pertemuan semula... Aduh.. hati bagai dipanah petir!..

Tuesday, August 23, 2011

Pengalaman Dalam Pesawat.....

Menaiki pesawat  bukan lagi hak golongan mewah tambahan di Sabah dan Sarawak dimana ianya merupakan salah satu pengangkutan utama dari satu tempat ke satu tempat. Kemunculan Air Asia, Fire Fly, Mas Wings memudahkan lagi perjalanan terutama bagi mereka yang tinggal berjauhan dari keluarga.

Pelbagai peristiwa lucu dan menarik berlaku. Aku sendiri memiliki sejarah-sejarah tersendiri di dalam menggunakan pesawat-pesawat ini.

Ke Tawau
  • Kali pertama ke Sabah pada tahun 1996, pesawat yang kami (aku dan beberapa orang kawan di BTMR @ dulunya BSMR) naiki terperangkap di dalam ribut di tengah-tengah Laut China Selatan. Pesawat kami bergoncang keras. Air yang sedang diminum tumpah. Masing-masing berdoa agar selamat. Alhamdulillah, kemudiannya kapten mengubah haluan melalui Kuching.
  • Kembali dari Sabah, barang-barang yang kubeli buat emak dan adik-adik hilang dari luggage. Aku sedar hanya setelah tiba di rumah.
  • Pernah aku menunggu luggage selama 1 jam di KLIA (masa tu KLIA baru dibuka). Rupanya luggage aku tersesat ke Taiwan (menurut pegawai MAS) dan hanya diterima seminggu kemudian. 
  • Pesawat yang aku naiki gagal mendarat di Labuan akibat jerebu sehingga aku muntah disebabkan pesawat berpusing berkali-kali.
  • Aku dan Md Nor (hi-tech padu) hampir-hampir terlepas pesawat gara-gara terlewat bangun tidur. Dengan bantuan seorang kawan di LTA Labuan, pesawat yang sedang bergerak ke landasan utama  kembali mengambil kami. Masih kuingat wajah-wajah masam penumpang melihat kami terkial-kial meminta maaf.
  • Teringat juga peristiwa tahun lepas, aku dan seorang kawan menjalankan TNA di negeri Sarawak. Pramugari AirAsia cukup baik dengan menawarkan minyak cap kapak. "Harganya RM3.50 sahaja." ujarnya sambil tersenyum.
  • Flight yang sama, aku melihat telatah pramugari yang panik kerana sejenis serangga (kalau di kampung ku disebut "riang-riang") telah berkeliaran di kaki penumpang. Kasihan melihat pramugari yang kelam kabut mengambil paper dan memakai 'glove', aku mengambilnya dan kulihat pramugari tersebut menyimpan'nya' kemas di dalam plastik sampah.
  • Satu ketika dulu, penumpang boleh meminta poskad, pen, playing card secara percuma dari stewardess MAS. Biasanya poskad yang aku minta akan kutujukan ke alamat aku sendiri. Poskad ini mengambil masa dua minggu untuk tiba ke destinasi. Playing card selalunya aku simpan sebagai cenderahati dan jika sekiranya kami beramai, biasanya kami akan menggunakan kad ini untuk bermain jerami. 
  • Baru-baru ini aku ralat kerana tidak dapat mengambil puncak gunung Kinabalu. Tidak seperti selalu, kali ini kamera dilarang sama sekali. Kecewa bercampur suka melihat puncak gunung tersohor ini dengan mata sendiri.
  • Jika dulu, berada dalam MAS memang seronok kerana dijamukan dengan juadah menarik. Kini aku lebih suka berada di dalam AirAsia (atas tiket kerajaan). Juadah Airasia sekarang lebih menarik dari yang ditawarkan MAS.
  • Dari Kota Kinabalu ke Sandakan, aku dan rakanku Cola diberi juadah seperti biasa iaitu nasi goreng dan satay. Memandangkan jarak antara KK dan Sandakan terlalu hampir dan perjalanannya singkat, aku terus membuka juadah untuk dijamah. Gelihati bila tiba-tiba aku ditegur steward. katanya " maaf encik, kita dah nak mendarat. Makanan untuk ditapau." hahahaha....
  • Layan Majalah
    Add caption
  • Pengalaman yang paling menarik adalah ke Hanoi. Setiap penumpang memiliki set tvnya sendiri. Pelbagai hiburan seperti filem, kartun, lagu, drama dan sebagainya boleh ditonton. TVnya menggunakan 'touch screen'. Setiap penumpang diberi 'headphone' sendiri agar tidak mengganggu orang lain. Filem-filem yang ditayangkan juga merupakan filem-filem latest di pasaran. Di dalam banyak-banyak bahan yang ditayangkan, aku terpegun melihat skrin al-Quran dengan 30 juzuk. 
Aku percaya semua orang ada kenangan di dalam kapalterbang. Betul kan?


Hari ini
Diri ini kembali ke kota
Meninggalkan kampung halaman
Membawa bersama kenangan semalam
Buat kesekian kalinya
Pusara ayahanda kukunjungi kembali
Pusara itu tetap sepi menyambut kedatanganku
Seketika hati sebak lagi
Hanya doa dan ayat-ayat suci
Yang mampu kuhadiahkan buatmu
Duhai lelaki yang amat kucintai
Bukankah Rasul Junjungan pernah berkata
Apabila matinya anak Adam
Maka terputuslah segala amalan
Melainkan tiga sahaja
Dan doa dari anak yang soleh satu darinya
Menjengukmu seketika
Mendekatkan daku pada Rabbi
Terdetik untuk muhasabah diri
Bilakah tiba giliran hamba-Mu ini
Dijemput ke negara Abadi...

Alfatihah buatmu ayahandaku
Allahyarham Hj Basirun bin Yaakob
Semoga rohmu tenang bersemadi di sana..
Al fatihah

Perbelanjaan Aidilfitri 1432H

Tahun ni tahun ke 2 aku beraya tanpa isteri. Perbelanjaan ala kadar.. cukuplah selayaknya bagi seorang bujang. Tempohari ke Sabah, sempat belikan emak, adik-adik dan anak-anak saudara barang perhiasan dari mutiara seperti gelang, brooch, butang baju melayu dan kain pelikat serta keropok balinjo, ikan bilis dan udang kering.

Tahun ni pertama kali beraya tanpa ayah. Tahun lepas, teringat saat-saat akhir belikan sandal raya untuk ayah kerana kasut yang dibelikan adik terlalu besar. Sempat arwah menggunakan sandal aku semasa raya sehingga akhir hayat di Hospital Pulau Pinang.

Tahun ni aku sempat beli beberapa kuih untuk raya. Semuanya aku order dari Zaireen, Rishidah dan Dayang. Mungkin sebelum balik aku belikan sedikit lagi kerana kali ini emak di kampung tidak membuat kuih seperti kebiasaan. Emak aku memang sibuk sepanjang puasa dengan aktiviti-aktiviti keagamaan bersama kawan-kawannya di kampung. Perbelanjaan kuih setakat ini : RM11 + RM30 + RM46 + RM15 = RM 101.00. Duit raya pun dah siap. Anak-anak saudara ada sepuluh. Pada yang kecil seorang RM10. Pada yang dah sekolah rendah RM20.00.. Pada yang sekolah menengah RM30 dan yang telah keluar sekolah RM50.00. Hehe.. sesekali biarlah diorang seronok. Duit untuk emak seperti yang disuruhnya pun sudah ditukarkan. RM200 dalam pecahan RM10.00 dan RM1.00. Terima kasih CC Shima. Alhamdulillah, zakat fitrah pun dah dibayar untuk aku dan emak.

Ahad ni aku akan bawa emak ke Giant Kulim. Banyak barang-barang runcit dan barang-barang basah yang perlu dibeli. Selepas itu, perlu bersihkan bilik air untuk emak...rutin setiap kali raya. Kata emak tahun ni menu bihun sup. Teringat sewaktu arwah ayah masih hidup, masakan utama untuk raya arwah ayah yang sediakan. Seingat-ingat aku sejak kecil, masakan utama memang ayah yang akan masak. Tahun ni terpaksalah emak mengambil alih.

Apapun, yang pentingnya petang ini singgah di Kedai Mee Du dan ambil baju melayu yang kutempah. Hari tu baju tersalah ukur sehingga tidak muat. Diharapkan baju yang dibuat semula ini muat untuk beraya. Insya Allah.. selamat hari raya. maaf zahir batin.

Sahur di penghujung Ramadan

Seperti biasa di bulan Ramadan, bangun jam 4.50 pagi terus masak air untuk dibuat minuman. Setiap pagi menu utama adala susu kambing dan rotab.. Banyak-banyak buah kurma aku suka jenis rotab sebab ia basah dan manis. Sedih bila memikirkan Ramadan akan berlalu pergi. Dari tahun ke tahun, Ramadan kian singkat.

Duit raya dan sampul duit telah siap. Terima kasih pada CC Shima yang banyak membantu. Kata emak, bekas kuih dah lama tak berganti. Bila agaknya dapat ke Jaya Jusco Seremban 2... InsyaAllah sabtu sebelum berangkat balik ke kampung. Permintaan emak perlu ditunaikan, terawih di penghujung Ramadan sayang hendak ditinggalkan.


Saturday, August 20, 2011

Rumah Sendiri vs Rumah Sewa

Rumahku di Kulim
Sedih ketika meninggalkan rumah kesayangan di Kulim. Rumah yang meninggalkan kenangan pahit manis ketika bersama ex-wife. Kini rumah ini disewakan kepada sepasang suami isteri dari Kelantan. Selain dari pinjaman kerajaan, rumah ini telah hias cantik melibatkan tambahan ruang dan sebagainya mencecah RM30k.

ruang tamu
Sudah lama aku tidak singgah melihat rumah ini. Kenangan yang ada ingin kupadamkan jauh-jauh namun apakan daya... inilah rumah dan syurgaku suatu waktu dulu.


Kini aku menetap seorang diri di Taman Intan Duyung, Port Dickson. Rumah yang kudiami sekarang jauh berbeza dari rumah yang kubeli di Kulim Square. Namun rumah sewa, begitulah adatnya. Janji selesa untuk berehat dan menumpang teduh.
Rumah bujang

Beruntung juga aku mendapat rumah ini kerana tuan rumahnya baik walaupun kadang-kadang seperti menggoda :). Ruang yang ada cukup bagiku meneruskan kehidupan sementara di Port Dickson ini. Sehingga kini rumah ini terhad kepada ahli keluarga dan sahabat terdekat.


Rumah & Heli...


Di sinilah aku menghabiskan masa dalam kesunyian. Hidup ini kadang-kadang menjemukan. Namun aku masih beruntung kerana diberi keluarga yang perihatin, bos-bos yang baik dan rakan-rakan yang memahami.


Insomnia

Teh tarik di sebuah warung
Semalaman tak dapat lelapkan mata. Fikiran melayang-layang...melayan mata yang tak kuyu. Aduhhh.. kenapa lah wahai mata. Jam dah 3.30pagi.. tak sepicing pun kedua mata mahu terlelap. Aku ambil keputusan untuk menghirup bayu pagi di pantai dan bersahur di warung jika masih ada yang buka.

Suasana pantai terang benderang dengan lampu spot-light. Masih ada 20-30 buah kereta tersadai di parking tepi jalan. Kelihatan beberapa anak muda sedang berjalan-jalan di gigi pantai. Pantai Batu Empat ni memang sering dikunjungi malah hampir tiap malam.

Aku berjalan ke sebuah warung yang masih dikunjungi pelanggan. Tv sedang menayangkan filem Predators. Cerita tentang beberapa tahanan dibawa ke sebuah planet sebagai mangsa kepada predator-predator. Sambil melayan tv sambil menghirup teh tarik yang cukup menyegarkan.

Jam 4.00 pagi aku pulang ke rumah. Mata cuba kupejamkan namun gagal. Dari membuang masa lebih baik aku bertadarus. Aku mandi seawal 4.30 pagi sementara menunggu subuh. Setelah itu aku meletakkan kepala..  sedar paginya jam 8.30!