Jika ditanya pada setiap diri kita yang sedang membaca artikel ini, tiada seorang pun mampu menafikan bahawa kita pernah diserang rasa 'tidak sabar'. Kesabaran kita sering kali teruji dari hal-hal remeh temeh sehingga kepada hal-hal yang memudaratkan.
Hilangnya perasaan sabar membawa kemusnahan. Suami menceraikan isteri, bapa meninggalkan keluarga tanpa nafkah, seorang ketua memaki hamun pekerja bawahan. Ini hanya sebilangan kecil dari kemusnahan yang berlaku akibat kehilangan sabar.
Para gadis akan menangis semahu-mahunya apabila kehilangan kekasih hati. Kesabarannya teruji. Dunia yang dulunya cerah dirasakan gelap tidak bercahaya. Seorang gadis andartu mengeluh saban hari, menunggu kedatangan jejaka idaman di dalam hidupnya. Kata-kata orang sekeliling memakan hatinya sedikit demi sedikit. Adakalanya, dia dilanda stress dan sanggup membunuh diri.
Ingatlah... kesabaran itu separuh dari iman. Orang yang tidak sabar akan mudah dijerat hasutan nafsu dan syaitan. Ingat juga bahawa andainya jodoh kita lewat, bukan kerana Allah swt tidak sayangkan kita. Allah ingin memberikan kita yang terbaik. Maka banyakkan doa, berserah dan tawakkal atas ketentuanNya.
Bila bercerita tentang kesabaran, manusia yang dijadikan sebaik-baik makhluk adalah makhluk yang mempunyai tahap kesabaran yang paling rendah. Lihatlah matahari dan bulan yang berada di paksinya zaman berzaman tanpa jemu, lihat ombak menyapu pantai setiap waktu tanpa rasa bosan. Lihat pada pokok-pokok yang tegak berdiri tanpa mengeluh. Semuanya malah berzikir pada Allah swt.
Marilah kita hayati salah satu sifat Allah yakni 'AL Halim' (Maha Penyabar). Jika melihat perilaku dan salah laku umat manusia yang berlaku sejak Nabi Adam as sehingga umat terakhir Nabiallah Muhammad SAW jelas sekali Maha Penyabar adalah bertepatan dengan sifatNya. Jika anak kita berdegil enggan mematuhi arahan kita, pasti telinganya dipiat atau sekurang-kurangnya tamparan diberikan. Tapi Allah swt menerima salah laku kita dengan sabar. Setiap salah laku dan kekhilafan masih diampunNya selagi kita bertaubat.
Pahala yang diberikan walau hanya dengan niat sepuluh kali lebih banyak dari satu yang diberikan bagi sebuah dosa. Tidak cukup dengan itu setiap perbuatan kita boleh menjadi sedekah walau hanya secebis senyuman. Mewahnya kita jika kita insan yang memerhatikan.
Enam billion manusia sering bergelumang dengan noda. Allah memerhati dengan ehsan dan keikhlasanNya. Dia memberi kita cukup masa agar kembali kepada fitrah manusia iaitu menerimaNya sebagai Tuhan yang Memiliki segalanya. Allah hu Akbar...
Seharusnya kita melihat kembali pada sejarah. Kita lihat keagungan Islam pada suatu masa dahulu. Kita lihat kejayaan Nabi Yusuf as sehingga menjadi seorang pemimpin. Kita lihat bagaimana Nabi Yunus as selamat dari dalam perut ikan nun..kita lihat bagaimana junjungan besar Rasulullah saw diuji dan diuji sehingga hayatnya... Bagaimana mereka berjaya mengharungi segala rintangan? Pasti perkataan yang tercetus di hati kita... itulah berkat kesabaran yang ada. Wallahu'alam
No comments:
Post a Comment