Friday, August 19, 2011

Berpuasa hari ke 19 Ramadan 1432H

Hari ni aku menunaikan solat jumaat di Masjid Bagan Pinang. Seperti biasa Masjid yang begitu sinonim dengan YB Dato' Seri Isa Samad ini dipenuhi jemaah dari kampung-kampung berdekatan. Aku mengambil tempat jauh di belakang... begitulah kebiasaannya aku. 


Khutbah hari ini menyentuh tajuk "Malam Lailatul Qadar" (Malam Seribu Bulan). Banyak keistimewaan yang terdapat pada malam ini. firman Allah s.w.t.


Maksudnya: "Sesungguhnya kami menurunkan Al-Quran pada malam Lailatulqadar dan apakah yang menyebabkan engkau mengerti apa itu Lailatulqadar. Lailatulqadar lebih baik daripada 1000 bulan. Pada malam itu, para malaikat dan Jibril turun dengan keizinan daripada Tuhan mereka untuk setiap urusan. Malam ini sejahtera hingga terbit fajar".

Sayangnya, malam ini hanya berlaku pada penghujung Ramadan ketika umat Islam kembali sibuk dengan keduniaan. Pusat membeli belah lebih menjadi tumpuan. Pelbagai persiapan 'wajib' perlu disegerakan. Masjid-masjid dan surau-surau kian lengang pada malam-malam terakhir terawih. Keseronokan menyambut Aidilfitri kian terasa. Bahangnya ada dimana-mana hatta di dalam kereta dan di pejabat-pejabat. Lampu kelip-kelip, pelita minyak tanah dan perhiasan mula dipasang. Lagu-lagu raya lama dan baru nyaring di sana-sini. Begitulah adatnya menyambut raya di bumi Malaysia.

Tahun ini aku keseorangan lagi. Suasana raya tetap seperti biasa. Malam Lailatul Qadar akan kembali lagi tahun ini, namun aku tidak pasti sama ada aku antara insan yang akan menerima imbuhannya nanti. Wallahu'alam. Sebagai umat Nabi Muhammad SAW, Malam Lailatul Qadar adalah satu kelebihan. Semoga antara kita ada yang berjaya diangkat martabatnya oleh Allah SWT.

No comments:

Post a Comment