Saturday, August 20, 2011

AIMM dan pencapaian

Pintu masuk
Akademi Imigresen Malaysia adalah pusat latihan tunggal Jabatan Imigresen Malaysia. Pada 18 Disember 2011, AIMM berusia 8 tahun. Kalau diukur pada seorang kanak-kanak, pasti pencapaiannya pesat dari mengesot, merangkak, berjalan, berlari, mengenal huruf dan membaca.. Sejauh mana kejayaan AIMM yang boleh dibanggakan?

Laluan ke Bangunan Akademik
Tidak dinafikan, sepanjang tiga tahun ini ramai graduan AIMM telah keluar dan menjalankan tugas di pejabat masing-masing. Namun adakah mereka ini mencapai kualiti yang ditetapkan sebagai seorang penjawat awam. Cabaran mendatang lebih beronak. Kini semua mata memandang AIMM apatah lagi apabila kejadian salah laku warga kerja JIM semakin menjadi-jadi. Langkah-langkah berani perlu diambil. Namun sejauh mana langkah-langkah ini mampu diharungi dengan kekangan-kekangan fizikal dan mental samada dari luar mahupun dalam AIMM sendiri.

Bangunan Akademik
Perit untuk ditelan namun hakikat yang perlu kita hadapi adalah menggunakan segala sumber yang terhad dan menggarap ia agar kukuh. Prasarana yang ada dikira mencukupi walau masih boleh diperbaiki. Kemudahan penginapan,logistik dan sajian dikira berpatutan sebagai sebuah pusat latihan. Malah jika dibandingkan dengan institusi latihan awam yang lain, AIMM tidak ketinggalan jauh malah berada di hadapan.

Bagi tahun 2012, AIMM perlu tangkas bangun. Langkah pertama yang difikirkan perlu  adalah menentukan visi dan hala tuju. Sepertimana kata Pengarah AIMM adakalanya kita perlu think small dan bukannya think big. Visi ke arah institusi latihan keimigresenan terbaik di ASEAN menjelang 2015 memang mampu dicapai tetapi bukankah visi yang besar itu perlu disokong oleh visi-visi yang menyokong.  Ketua-ketua Pusat Pengajian dan ketua-ketua seksyen perlu duduk dan menentukan visi ini. Sikap  menjaga pusat pengajian masing-masing sahaja perlu dikikis. Bila ditanya tentang kesetiaan pada AIMM pasti semua bersetuju tetapi dimana kesungguhan kita?

Pusat Pengajian Kawalan telah memulakan langkah melahirkan penceramah berkualiti. Ini merupakan contoh yang baik. Namun disamping itu, kaedah penilaian perlu dipertingkatkan. Kita tidak mahu disebut 'syok sendiri'. Pengikhtirafan penceramah oleh Pengarah AIMM juga langkah yang bagus. Namun tanpa sokongan pihak lain seperti Pengarah-pengarah Bahagian dan Negeri, mungkinkah penceramah-penceramah ini dinilai secara adil? Mereka datang ke AIMM..berlatih..belajar bagaimana menjadi jurulatih. Bagaimana pula pencapaian mereka dengan tugas hakiki di pejabat? Mungkinkah kita sebenarnya perlu bergerak lebih jauh mendapat pertimbangan pengarah-pengarah dimana mereka ini ditempatkan?

Begitu juga dengan Pusat Pengajian Undang-undang dan Antarabangsa. Pengetahuan mengenai akta dan undang-undang amat penting. Pegawai-pegawai kita terutama di sektor penguatkuasaan termasuk pendakwaan perlu berilmu. Mungkin kita rasakan dengan seminar dan kursus jangka pendek sudah memadai. Namun pernahkah kita perincikan bidang tugas sebenar, risiko dan krisis yang perlu dihadapi? Kita khayal dalam dunia kita. Kita perlu klasifikasikan pembelajaran... biar lambat tetapi sempurna.. itulah yang kita perlu perbetul. Kita mengajar teori demi teori. Mungkin sudah sampai masanya kita dalami dan perinci setiap tugas agar latihan yang diberikan lebih relevan.

Orang luar memerhati kita dari jauh.. sesekali telinga kita berdesing mendengar kritikan. Dahulu induksi berjalan tiga bulan, selepas itu tiga minggu dan yang terbaru dua bulan. Apabila melihat pengisian tiga bulan dan dua bulan, kita tidak nampak sesuatu yang drastik. Banyak ruang kosong terutama di waktu malam. Jika kajian dijalankan dengan lebih sistematik dan spesifik, kita akan melihat kualiti kita sebenarnya masih ditakuk lama.

Aku berharap sangat agar pegawai-pegawai di peringkat bawah dibenarkan memberi komen tanpa rasa prejudis. Peranan dan tanggungjawab kita sebenarnya semua sama. Tiada sikap keakuan dalam mendidik. Bahagian Pengurusan, Pembangunan dan Kewangan perlu siap siaga menghulurkan bantuan dan bukan berkira-kira. Orang luar tidak memerhati sejauh mana kehebatan kita dalam menguruskan pentadbiran tetapi mereka ingin melihat kita dengan pencapaian latihan kita sebagai teras operasi. Mungkin ada yang lupa bahawa AIMM sebenarnya bersandarkan kepada kuantiti dan kualiti latihan yang dihulurkan.





No comments:

Post a Comment